Archive : 2012 | 2011 | 2010 | 2009 | 2008 |

Press Release


13-APR-2010
Utusan Online
Onegrid: Jaring sasar lima lagi syarikat melanggan


KUALA LUMPUR 12 April - Jaring Communications Sdn. Bhd. (Jaring) menyasarkan untuk menarik lima buah syarikat lagi untuk melanggan perkhidmatan pemacu penyediaan komputer berkuasa tinggi dan grid berkomputer, Onegrid sepanjang tahun ini.

Sehingga kini, dua buah syarikat sudah melanggani perkhidmatan seumpamanya di negara yang menjimatkan kos dan masa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mohamed Awang Lah berkata, Onegrid dapat menjimatkan kos operasi syarikat-syarikat yang menggunakan sumber perkomputeran berkuasa tinggi dan kerja-kerja animasi.

Beliau memberitahu, selain itu, pihaknya turut menyasarkan pelanggan yang menjalankan operasi menganalisis data yang besar seperti pemerosesan genomik.

"Penggunaan Onegrid menjimatkan kos operasi dan masa kerana ia menggunakan pusat data yang berprestasi tinggi berpangkalan di Taman Teknologi Malaysia di sini," katanya.Beliau berkata demikian selepas melancarkan pusat perkhidmatan grid berkomputer di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili.

Hadir pada majlis ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pada majlis pelancaran Onegrid, Jaring turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris, KPerak Implimentation And Coordination Corporation dan Kementerian Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah.

Jaring turut memeterai perjanjian penggunaan Onegrid bersama Motorola Technology Sdn. Bhd. dan Azimation Werks Sdn. Bhd.

Tambah Mohamed, Onegrid merupakan perkhidmatan untuk menyokong syarikat-syarikat di Malaysia.

Katanya, setakat ini setiap pusat data akan mempunyai 1,000 unit pemerosesan berpusat (CPU) bagi mengekalkan prestasi pengkomputeran berkuasa tinggi.

"Selepas Perak dan Sabah membuka pusat datanya tidak lama lagi, Onegrid akan berkembang dan mampu menyokong aktiviti animasi, simulasi dan pemodelan komputer di seluruh Malaysia.

"Saya difahamkan bahawa kerajaan negeri Sabah dan Perak dalam proses membangunkan perkhidmatan itu dengan kerjasama Jaring," katanya.

Sementara itu, Ongkili menambah, bagi penggunaan Onegrid, kementerian mahu memberi tumpuan kepada industri bioinformatik seperti kajian genomik.

Pihaknya yakin industri itu mempunyai ramai pelabur dan merupakan peluang perniagaan yang berpotensi.

"Kajian dalam genomik memerlukan 1,000 simulasi dan Onegrid boleh menyediakan pengkaji bagi melakukan simulasi," ujarnya.



  News List >>