SEARCH
       
 
From CEO's Notebook
 

  Ucapan Penerimaan Ijazah Doktor Kehormat Teknologi Maklumat Majlis Konvokesyen ke-12,UNITEN,15 Ogos 2009
Oleh Dr Mohamed bin Awang Lah

Bismillah, Salam dan Salutasi,

Dengan penuh rasa kesyukuran kehadrat Allah subhanahu wataala dan dengan rasa penuh takzim serta rendah diri, saya menerima Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Maklumat yang dikurniakan oleh Universiti Tenaga Nasional pada hari ini, Sabtu, 15 haribulan Ogos tahun 2009. Saya amat terharu dan menyanjung tinggi atas penghormatan yang diberi, yang tak pernah saya duga. Penerimaan ijazah ini merupakan satu detik yang bersejarah bagi saya, yang tak akan dilupa sepanjang hayat. Ia memberi peluang kepada saya untuk menyingkap kembali sejarah hidup saya yang mempunyai liku-likunya sendiri.

Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak pengurusan Universiti Tenaga Nasional. Tidak lupa juga terima kasih kepada kakitangan UNITEN yang telah bertungkus lumus membuat persediaan bagi upacara penganugerahan ini dan berjaya menulis kesah hidup saya serta mengolah gambar-gambar saya yang lama dan baru untuk dijadikan satu tanyangan video yang menarik dan penuh dengan daya kreatif. Tahniah kepada mereka semua.

Siapalah saya tanpa ibu dan bapa yang menyekolahkan saya walaupun mereka tak pernah bersekolah;

Siapalah saya tanpa kerajaan yang menyediakan kemudahan persekolahan dan biasiswa kepada saya;

Siapalah saya tanpa Tenaga Nasional Berhad (dahulunya Lembaga Letrik Negara) yang telah memberikan biasiswa membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke luar negara;

Siapalah saya tanpa sokongan pihak Universiti Malaya yang membolehkan saya menerokai teknologi Internet semasa bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan;

Siapalah saya tanpa sokongan MIMOS dan kerajaan yang membolehkan saya terus menjalankan kajian, penyelidikan dan pembangunan yang membolehkan perkhidmatan Internet diperkenalkan di Malaysia, mendahului banyak negara lain;

Siapalah saya tanpa rakan taulan dan sahabat handai yang mengkritik dan memberi semangat, membolehkan saya membetulkan diri;

Siapalah saya tanpa isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang saling memahami dan membolehkan saya hidup dengan tenang.

Merekalah sebenarnya yang melentur dan mendidik saya. Terima kasih kepada semuanya.

Tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

Dua puluh enam tahun dahulu iaitu pada tahun 1983, apabila perkataan Internet diperkenalkan di dunia ini, ada dua perkara yang memberi kesan besar kepada jiwa dan kerjaya saya:

Pertama: Teknologi Internet disebarkan dalam bentuk perisian komputer di mana kod sumbernya (atau 'source codes') boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang memahaminya. Ia dikongsi secara terbuka dan boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berminat. Inilah yang menakjubkan saya - satu budaya perkongsian ilmu pengetahuan yang melangkaui sempadan negara. Ia mengukuhkan kesedaran bahawa kekayaan ilmu hanya boleh ditambah melalui perkongsian. Ini berlawanan sekali dengan kekayaan wang ringgit yang akan berkurangan bila dikongsi. Melalui budaya perkongsian ilmu ini, teknologi Internet tersebar luas dengan cepat ke seluruh dunia. Sesiapa sahaja boleh melaksanakannya. Sebarang masalah dikongsi dan diselesaikan secara bermuafakat yang seterusnya memperbaiki teknologi Internet itu sendiri. Tidak ada seorang ketua yang memberi arahan. Mereka yang berminat boleh maju ke hadapan dengan daya kreativiti masingmasing. Budaya perkongsian ini menjadi teras kepada inovasi Internet sehingga hari ini.

Kedua: Teknologi Internet membolehkan kita berkomunikasi dengan cepat walaupun berada di tempat yang berjauhan. Pada masa itu, dunia hanya boleh berkomunikasi dengan menggunakan telefon, surat, telegram atau teleks. Mesin faks baru sahaja diperkenalkan. Tidak ada kemudahan dan kemampuan untuk menghantar data elektronik. Dengan menggunakan Internet, mel elektronik (atau 'e-mail') boleh dihantar ke mana-mana sahaja di seluruh dunia melalui beribu-ribu komputer yang dirangkaikan antara satu dengan lain. Setiap komputer dikendalikan oleh orang berlainan, yang mungkin tidak mengenali antara satu dengan lain. Mereka rela berkongsi. Kemudahan berkomunikasi dengan mudah dan cepat menggunakan Internet menakjubkan saya. Perbincangan boleh dibuat berkaitan dengan beribu-ribu tajuk yang berbeza pada bila-bila masa. Sepuluh tahun kemudian barulah timbul 'web browser' yang kita kenali hari ini. Kalau sebelumnya Internet hanyalah dianggap sebagai kemudahan untuk ahli akademik dan penyelidik sahaja, 'web browser' telah membuka mata dunia perniagaan. Internet berubah menjadi prasarana atau kemudahan perniagaan dan perdagangan global, mendenyutkan nadi ekonomi digital yang berasaskan ilmu pengetahuan. Internet juga menjadi satu budaya. Hari ini, dunia tidak boleh berfungsi tanpa Internet!

Dua perkara di atas menyebabkan saya tertarik kepada teknologi Internet pada suku abad yang lalu. Pada masa itu terlintas difikiran saya, alangkah baiknya jika rangkaian Internet dilaksanakan di semua universiti dan sekolah di Malaysia. Saya membayangkan bagaimana ilmu pengetahuan boleh dikongsi dan berkembang dengan cepat untuk membangunkan tenaga manusia dan negara kita. Inilah titik permulaan yang mengubah hidup saya. Ia menjadi 'darahdaging' kerjaya saya sehingga hari ini. Rangkaian percubaan yang dinamakan 'RangKoM' pada tahun 1986 akhirnya berubah menjadi 'JARING' pada tahun 1992 untuk mempelopori perkhidmatan Internet negara, yang terus berkembang sehingga sekarang. Nama JARING adalah singkatan kepada nama penuhnya iaitu 'Joint Advanced Research Integrated NetworkinG' yang menggambarkan matlamat perkongsian ilmu pengetahuan untuk mempelopori rangkaian termaju secara bersepadu dan bekerjasama.

Pada hari ini, walapun Internet sudah sampai ke sekolah, universiti, badan korporat, kerajaan dan rumah, ia masih tidak mecukupi dari segi liputan, kelajuan dan kualiti. Saya rasa agak terkilan kerana kemudahan Internet negara kita agak ketinggalan sejak satu dekad yang lalu. Namun, saya yakin dan percaya kita boleh mengatasinya sekiranya semua pihak memahami isu sebenar. Inilah cabaran masa ini yang belum selesai. Saya tidak bermaksud untuk membincangkannya dalam ucapan ringkas ini.

Para graduan yang dikasihi sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi tahniah kepada saudara dan saudari atas kejayaan semua untuk memperolehi ijazah dan diploma di samping memenuhi harapan ibu-bapa dan keluarga masingmasing. Hari ini sudah tentunya merupakan satu titik sejarah yang penting. Masa depan anda semua terbentang luas. Kerjaya anda sedang bermula.

Izinkan saya berkongsi pengalaman dalam menerajui JARING sebagai sebuah syarikat yang mempelopori perkhidmatan Internet di Malaysia. Saya merumuskan satu formula yang menjadi asaskan kepada budaya kerja untuk semua kakitangan JARING. Saya namakannya 'RECIPE' - R, E, C, I, P dan E.

'R' bermakna 'responsive'. Kita haruslah sentiasa bertanggung-jawab. Setiap tugas yang diberi perlu disempurnakan dalam tempoh yang ditetapkan. Kita tidak perlu diberi peringatan. Sekiranya kita tidak faham atau tidak mampu, kita perlu bertanya dan berbincang. Jangan sekali-kali berdiam diri dengan harapan tugas kita dilupakan begitu sahaja - ia akan timbul semula dalam bentuk krisis yang tidak boleh dimaafkan. Melalui sikap yang 'responsive' kita akan mendapat 'respect' atau dihormati oleh rakan sekerja dan majikan;

'E' bermakna 'explorative'. Dalam menyelesaikan apa-apa masalah kita hendaklah sentiasa memberi pertimbangan kepada semua pilihan yang ada. Budaya penerokaan perlu manjadi sebahagian daripada jiwa raga kita. Jangan sekali-kali mencari jalan mudah dengan membuat kerja secara sambil lewa atau sematamata untuk 'makan gaji'. Sebaliknya kita perlu berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang belum dicapai sebelumnya. 'E' juga berkait dengan perkataan 'Edge' yang bermaksud mendekati atau melangkaui perbatasan atau sempadan untuk meningkatkan kecemerlangan dalam apa sahaja yang kita lakukan. Dalam peperiksaan, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan 'lulus' sahaja tetapi hendaklah berusaha untuk mencapai tahap 'cermerlang'. Begitu juga dalam kerjaya kita;

'C' bermakna 'communicative'. Mendengar adalah lebih penting daripada bercakap. Kefahaman perlu diutamakan bagi kedua-dua pihak yang berkomunikasi. Bahasa dan gaya pertuturan adalah penting. Bila kita membuat sesuatu tugas, sudah tentu ada pihak lain yang akan mendapat faedah. Adalah amat malang sekiranya pihak tersebut tidak memahami apa yang kita hasilkan. 'C' juga bermakna 'competency' atau kebolehan dan 'capacity' atau keupayaan. Kebolehan berkait rapat dengan pengetahuan dan kemahiran yang kita pelajari sementara keupayaan pula berkait rapat dengan tenaga kita. Kita mesti terus belajar sepanjang hayat dan sentiasa menjaga kesihatan jasmani sepanjang masa;

'I' bermakna 'integrity'. Prinsip kesaksamaan dan keadilan perlu dipegang dan dipertahankan sepanjang masa. Hak orang lain tetap menjadi hak mereka. Adalah lebih baik melepaskan hak kita secara rela daripada mengambil hak orang lain tanpa kerelaan mereka. Yang bersalah tetap bersalah, walaupun ahli keluarga atau sahabat handai kita. Rasuah dalam apa-apa bentuk atau saiz tetap salah dan tidak boleh diterima, sama ada nampak atau tidak;

'P' bermakna 'passion'. Kita perlu menjalankan tugas kita dengan penuh kerelaan, kesungguhan dan kepercayaan. Kepura-puraan tidak akan berkekalan dan akan membebankan jiwa kita. Adalah lebih baik bertukar kerjaya daripada terus membuat sesuatu yang kita tidak suka. Kita seharusnya bekerja bukan semata-mata kerana wang ringgit. 'P' juga berkait dengan perkataan 'principled' atau berpegang kepada prinsip tanpa berkompromi. 'Passion' atau kesungguhan kita haruslah berlandaskan prinsip dan asas yang rasional, bukan emosi;

'E' bermakna 'entrepreneurial'. Tanpa mengira jenis kerja, kita seharusnya sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan hasil pendapatan majikan kita. Kita juga tentunya akan mengecapi faedah kewangan dan sebagainya sekiranya majikan kita berjaya.

Saya harap 'RECIPE' ini boleh menjadi panduan dalam memupuk kerjaya para graduan sekalian. Saya memohon kehadrat Allah subha nahu wataala agar kita semua dimurahkan razeki, dicerahkan hati, ditenangkan jiwa dan diperkayakan dengan ilmu pengetahuan yang berguna sepanjang hayat.

Buah ketupat buah delima,
Dijunjung peraih hingga ke pekan,
Ijazah Kehormat sudah terima,
Segunung kasih saya hulurkan
Dari pagi ke sini ke sana,
Berpeluh rejat kaki dan tangan,
Doktor Teknologi Maklumat amat bermakna
Sepanjang hayat jadi kenangan.

Sekian, wabillahi wa taufik wal hidayah, wassalam mualaikum warah matullah hi wabarakah tuh.



Dr Mohamed Awang Lah is the CEO of Jaring Communications Sdn Bhd. He was involved in the emerging Internet technology about 25 years ago, which led to the pioneering of the Internet services in Malaysia. This article is written in his personal capacity.

Subscribe RSS Feed :: Policy :: Sitemap
Copyright © JARING Communications Sdn. Bhd. 2010 All Rights Reserved.
Best viewed with Internet Explorer 7 and above or Mozilla Firefox 2.0 and above.